Liga Perdana Inggeris (EPL) memansuhkan penggunaan tali kasut dan lilitan pelangi bermula musim 2025/26.
BBC Sport melaporkan pemansuhan itu dibuat selepas EPL menamatkan kerjasama dengan badan kebajikan Stonewall baru-baru ini.
Kempen penggunaan tali kasut dan lilitan pelangi diperkenalkan dalam liga utama England pada 2013 dan mendapat sokongan semua kelab EPL.
Meskipun begitu, beberapa pemain EPL menyuarakan rasa tidak selesa berhubung kempen tersebut. Antara yang enggan berbuat demikian ialah bekas kapten Ipswich Town, Sam Morsy.
Morsy memaklumkan kepada pengurusan The Tractor Boys bahawa beliau tidak mahu memakai lilitan tersebut. Ini kerana pada hemat pemain Mesir itu, ia bertentangan dengan kepercayaannya sebagai Muslim.
Manchester United pula membatalkan penggunaan jaket berwarna pelangi pada musim 2024/25 selepas seorang pemain enggan memakai jaket tersebut.
Pemain yang dimaksudkan ialah pemain pertahanan Maghribi, Noussair Mazraoui. Seperti Morsy, beliau turut menolak memakai jaket tersebut atas alasan keagamaan.
Susulan itu, semua pemain United membuat keputusan kolektif untuk tidak memakai jaket tersebut sebelum aksi menentang Everton pada Disember 2024.