Perak Bison membuat kejutan dengan menurunkan perejam kebangsaan, Noraizat Nordin sebagai tekong bidan terjun.
Percaturan berani pasukan utara tanah air itu dibuat dalam aksi klasifikasi tempat kelima hingga kelapan Grand Prix (GP) Johor menentang ATM Guardians.
Pada awalnya, jurulatih Perak Bison, Mohd Dzafril Anuar memilih Najmi Syahfiq sebagai tekong untuk aksi tersebut. Najmi bergandingan dengan kapten, Aidil Aiman Azwawi dan Nazrein Daniel.
Malangnya, gandingan tersebut terpaksa akur dengan kehebatan regu ATM Guardians yang mengungguli set pertama dengan keputusan 15-11.
Situasi ini mendorong Dzafril memilih Noraizat dan bukan Meor Zulfikar sebagai pengganti Najmi. Percaturan berani beliau menyaksikan Perak Bison bangkit meraih kemenangan 17-16 dalam set kedua.
ATM Guardians dilihat tidak berupaya menyekat setiap servis yang dibuat Noraizat. Ini membolehkan Perak Bison meraih kemenangan 15-12.
Kehebatan Noraizat sebagai tekong bidan terjun turut mendapat pujian peminat di media sosial. Seorang peminat bernama Abd Halim Abd Karim teruja dengan bola pertama beliau setiap kali membuat servis.
“Selalu apit kiri ke tekong. Aizat apit kanan ke tekong. Bola pertama beliau (masa melakukan servis) memang cantik,” katanya di ruang komen Facebook.
Seorang lagi peminat bernama Mohammad Abu Bakar pula percaya hantaran bola yang dibuat Nazrein membantu Aizat di atas gelanggang.
“Pujian juga untuk apit kanan PB (Perak Bison). Lontaran bola cun untuk Aizat. Main sampai habis perlawanan.
“Cuma dia kena hebatkan lagi servis itu. Aizat memang hari ini dia punyalah. Memang terkejut buka televisyen, tahu set kedua kemudian Aizat main tekong. Terfikir dua tekong mungkin cedera agaknya,” ujarnya.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Noraizat beraksi sebagai tekong. Sebelum ini, beliau turut menggalas peranan sama semasa bersama Johor Tigris pada 2018.