Bekas jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim menerima pampasan sebanyak RM1.04 juta oleh Mahkamah Perusahaan.
Ini selepas Mahkamah Perusahaan memerintahkan Perak membayar pampasan tersebut kepada beliau atas alasan pemecatan dibuat secara tidak adil.
Pampasan RM1.04 juta itu dikira berdasarkan baki kontrak Teong Kim bersama Perak selama 16 bulan dan gaji bulanan sebanyak RM65,000.
Pengerusi mahkamah, D. Paramalingam menyifatkan keputusan Perak menamatkan kontrak jurulatih berusia 61 tahun itu sebagai pra-matang, tidak wajar dan didorong oleh nilai komersial.
“Apabila syarikat itu melantik Lim, mereka sedar bahawa ia akan menjadi satu tugas yang panjang dan sukar untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Perak.
“Mereka memecatnya walaupun sebelum dia dapat menghasilkan keputusan sepenuhnya. Bagaimanapun, syarikat itu menyemak semula isu yang sama yang dibangkitkan sebagai alasan untuk penamatan,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Teong Kim dibawa masuk sebagai jurulatih Perak pada September 2022. Walau bagaimanapun, khidmat legenda KL City FC itu tidak dikekalkan pada Mei 2023.
Susulan itu, Teong Kim mengemukakan tuntutan terhadap The Bos Gaurus berhubung pemecatan tersebut. Tempat beliau kemudiannya digantikan oleh bekas jurulatih KL City, Yusri Che Lah.