JDT II berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 0-1 walaupun berdepan tekanan di hadapan lebih 1300 penonton tuan rumah.
Skuad tuan rumah, UM Damansara menurunkan Eqhwan di posisi penjaga gol dan Hariz Mansor sekali lagi menggalas lilitan kapten manakala Anuar Ceesay sebagai ayam tambatan pasukan tersebut pada aksi petang ini.
Sementara itu, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) II membariskan Aysar Hadi sebagai ketua pasukan dan Ibrahim Manusi mengemudi di bahagian tengah manakala Enzo Lombardo mengetuai jentera serangan.
Kedua-dua pasukan bermula dengan sangat garang apabila melancarkan beberapa serangan bahaya di kedua-dua gawang meskipun beraksi dalam keadaan padang basah.
Memasuki minit ke 15, perlawanan dilihat tampak tegang apabila layangan dua kad kuning kepada pemain JDT II dan UM-Damansara walaupun masih di suku jam permainan.
Perlawanan yang dikuasai penuh oleh skuad JDT II itu dilihat melancarkan beberapa percubaan berbahaya namun ketangkasan penjaga gol UM-Damansara harus diberi pujian.
UM-Damansara memiliki peluang keemasan untuk mendahului permainan menerusi pemain bernombor 8, Brandon Liew namun percubaan beliau di hadapan gawang JDT II tersasar.
Keputusan separuh masa pertama tamat dengan keputusan seri tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.
Kembali dari bilik persalinan, skuad JDT II dilihat masih menguasai permainan bagi memecahkan kebuntuan jaringan pada perlawanan petang ini.
UM Damansara sekali lagi hampir mencipta jaringan menerusi pemain bernombor 7, Taha Khalid pada minit ke 58′ namun percubaan tersebut hanya singgah di palang skuad JDT II.
Pasukan JDT II membuat dua pertukaran pada minit ke 63′ dengan mengeluarkan Ibrahim Manusi dan Enzo Lombardo manakala memasukkan Rafiefikri Rosman dam Ziad El Basheer.
Sementara itu, skuad yang berpangkalan di Lembah Klang turut melakukan pertukaran antaranya dengan memasukkan Shafizi Iqmal, penjaring gol tunggal ketika kemenangan skuad UM Damansara menentang Perak FA.
Memasuki minit ke 70′ kedudukan masih lagi terikat tanpa jaringan walaupun kedua-dua pasukan mempunyai beberapa percubaan berbahaya.
Skuad JDT II akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan jaringan apabila rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh Alif Mutalib menerjah gawang UM Damansara pada minit ke 79′.
Perlawanan separuh masa kedua tamat dengan kemenangan berpihak kepada JDT II dengan keputusan 0-1.