Skuad Malayan Tigress berjaya meraih kemenangan dalam aksi terakhir Kelayakan Piala Asia Wanita B-20.
Malayan Tigress menurunkan Diana Syafiqah di bahagian penjaga gol dan Kaseh Carlmila mengemudi jentera serangan manakala Dhiyaa Addin sebagai kapten pasukan malam ini.
Sementara itu, skuad Guam membariskan Sierra Ruehl di benteng gawang dan Lexi Taitague sebagai ketua pasukan manakala Hinengi San Nicolas sebagai ayam tambatan skuad tersebut pada aksi ini.
Kedua-dua pasukan memulakan separuh masa pertama dengan begitu laju bagi memperoleh kemenangan pertama dalam aksi Kelayakan Piala Asia Wanita B-20.
Malayan Tigress yang dilihat mempunyai kelebihan beraksi di halaman sendiri tampak melancarkan beberapa serangan dan percubaan berbahaya namun gagal menerjah gawang skuad Guam.
Guam turut mempunyai beberapa percubaan ke gawang Malaysia namun percubaan tersebut hanya tersasar dari palang skuad Malayan Tigress.
Skuad Malaysia dilihat menguasai permainan bagi aksi di separuh masa pertama namun masih gagal mencari jaringan kerana ketangkasan dan kecekapan pemain-pemain Guam harus dipuji.
Keputusan separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.
Keluar dari bilik persalinan, kedua-dua pasukan dilihat masih bernafsu untuk mencipta jaringan pertama perlawanan dan kempen Kelayakan Piala Asia Wanita B-20.
Skuad Guam berjaya mendapat peluang keemasan di hadapan gawang Malaysia menerusi pemain bernombor 9, Hinengi San Nicolas namun percubaan tersebut tersasar.
Malayan Tigress akhirnya membuka akaun jaringan perlawanan dan kempen Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 hasil rembatan cantik oleh penyerang bernombor 9, Kaseh Carlmila pada minit ke 64′.
Pasukan Guam yang terus mengasak kubu gawang Malaysia bagi menyamakan kedudukan sebelum tamat perlawanan tetapi usaha tersebut kian gagal apabila pemain-pemain Malayan Tigress bermain dengan sangat berdisiplin bagi memastikan gawang tidak dibolosi.
Skuad Malaysia sekali lagi menambah jaringan menerusi pemain yang sama, Kaseh Carlmila bagi memastikan tiga mata penuh hampir pasti diraih.
Perlawanan tamat dengan keputusan 2-0 kemenangan berpihak kepada skuad Malayan Tigress pada aksi terakhir Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.