Terengganu FC membuka kempen Liga Super 2025/26 dengan kemenangan apabila menewaskan Penang FC di Stadium Bandaraya.
Kedua-dua pasukan berharap dapat membuka kempen musim 2025/26 dengan kemenangan. Peteh turut melihat ini peluang meraih kemenangan di Pulau Pinang buat kali pertama sejak musim 2022.
Bekas orang besi Sri Pahang FC, Stefano Brundo mengetuai cabaran Penang. Yann Mabella, Gabriel Silva dan Akhyar Rashid menjadi sandaran gol Terengganu.
Hujan renyai di Stadium Bandaraya tidak mengganggu kedua-dua pasukan berusaha mencari gol awal.
Bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Hasbullah Abu Bakar hampir menceriakan kem tuan rumah pada minit keempat. Walau bagaimanapun, percubaannya disekat Suhaimi Husin.
Mabella hampir membolosi gawang Harimau Kumbang menerusi percubaan jarak jauh pada minit ketujuh. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Khairulazhan Khalid.
Kedua-dua pasukan berusaha untuk memecah kebuntuan tetapi keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Terengganu terus memberi tekanan kepada benteng Penang untuk memburu gol pendahuluan.
Gol yang dicari akhirnya hadir menerusi Azam Azmi Murad pada minit ke-50. Azam pantas menyudahkan hantaran Safwan Mazlan melepasi Khairulazhan.
Lima minit kemudian, giliran Silva mencetak nama sebagai penjaring. Serangan balas pantas Peteh disudahkan bekas pemain sayap Svay Rieng itu.
Tersentak, pengendali Harimau Kumbang, Wan Rohaimi Wan Ismail memasukkan Bruno Suzuki dan Firdaus Saiyadi untuk memperkemas jentera pasukan.
Danilo Sipovac hampir merapatkan jurang buat Penang pada minit ke-74. Malangnya, rembatan lencong beliau berjaya dinafikan Suhaimi.
Pemain gantian, Khalaif Naskam melengkapkan malam cemerlang Peteh dengan menyumbat gol ketiga pada minit ke-89. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Terengganu menduduki tangga keempat liga di belakang KL City. Penang pula jatuh ke tangga ke-10 tanpa sebarang mata.
Selepas ini, Penang akan menentang Melaka FC pada 13 Ogos. Terengganu pula akan menentang PDRM FC pada hari yang sama.