Aksi membabitkan dua pasukan gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC menjadi satu-satunya aksi yang merekodkan kehadiran lima angka.
Ini berdasarkan angka kehadiran penyokong yang direkodkan dalam aksi minggu pertama Liga Super musim 2025/26.
Pertembungan Harimau Selatan dan The Red Giants menyaksikan 32,777 orang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Aksi ini juga merupakan aksi Piala Sumbangsih untuk musim 2025/26.
Kehadiran penyokong yang ramai membantu JDT merekodkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Selangor. Lebih manis, ini trofi pertama buat jurulatih baharu Harimau Selatan, Xisco Munoz.
Aksi Penang FC dan Terengganu FC merekodkan kehadiran kedua teramai iaitu 4,809 orang di Stadium Bandaraya. Ini aksi pertama musim Penang di gelanggang sendiri selepas beberapa musim membuka kempen di tempat lawan.
Walau bagaimanapun, keinginan Sang Harimau Kumbang melakar kemenangan musnah apabila tewas 3-0 kepada Sang Penyu.
Seterusnya, aksi Kuching City FC dan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) merekodkan kehadiran ketiga tertinggi iaitu 3,141 orang.
Kehadiran lebih 3,000 penyokong di Stadium Negeri, Kuching itu membantu anak buah Aidil Sharin Sahak membelasah pasukan Pantai Timur itu 4-0.
Aksi Imigresen FC-KL City FC merekodkan kehadiran 444 orang. Kehadiran aksi PDRM FC-Brunei DPMM FC pula seramai 220 orang.
Imigresen bernasib malang apabila tewas 3-0 di tangan pasukan Lembah Klang itu. DPMM pula hampa apabila diikat The Cops 2-2.
Aksi Liga Super seterusnya bakal berlangsung pada 12 dan 13 Ogos ini.