9 pemain Selangor dipanggil menyertai kem Malaysia B-23 menjelang Kelayakan Piala Asia B-23 AFC 2025 pada 1-9 September di Thailand.
Lapan dari sembilan pemain Selangor dipanggil merupakan pemain Selangor II manakala hanya Muhammad Khalil dari pasukan senior Selangor.
Ini merupakan tugasan kedua buat Nafuzi Zain selepas Piala Mandiri Asean B-23 baru-baru ini yang menyaksikan skuad beliau hanya melengkapkan peringkat kumpulan.
Nafuzi Zain menggantikan Juan Torres Garrido pada akhir tahun lepas bagi posisi ketua jurulatih skuad Harimau Malaya B-23.
9 pemain tersebut ialah Haykal Danish, Muhammad Khalil, Danish Iskandar, Zharif Zaini, Aiman Yusuf, Rohisham Haiqal, Aiman Hakimi, Rahman Daud dan Izrin Ibrahim.
Skuad kebangsaan bakal menghadapi cabaran dalam kumpulan F bersama musuh tradisi Asia Tenggara iaitu Thailand serta Lubnan dan Mongolia.
Dari 11 kumpulan hanya juara kumpulan dan 4 tempat kedua terbaik bakal melayakkan diri ke pentas Piala Asia B-23 2026 yang akan berlangsung di Arab Saudi.
Pasukan Harimau Malaya B-23 ini bakal membuka tirai aksi Kelayakan Piala Asia dengan menentang skuad Lubnan dan diikuti Mongolia manakala bakal menutup aksi Kelayakan bertemu tuan rumah, Thailand di Stadium Leo pada 9 September ini.