Orang besi Harimau Malaya, Dion Cools akhirnya meraih kemenangan pertama dalam J League bersama Cerezo Osaka.
Ini selepas Cerezo mengalahkan Albirex Niigata dalam aksi terbaru J League di Stadium Yodoko Sakura.
Kemenangan ini turut memberi kelegaan kepada jurulatih Australia, Arthur Papas. Ini kerana Cerezo meraih kemenangan buat kali pertama sejak 21 Jun lalu.
Cools diberi kepercayaan mengisi slot bek kanan dalam kesebelasan pertama. Papas turut memilih Motohiko Nakajima dan Lucas Fernandes sebagai sandaran gol Cerezo.
Albirex mencipta kejutan dengan mendahului menerusi kapten, Yuto Horigome seawal minit kedua. Horigome mudah menewaskan penjaga gol tuan rumah, Koki Fukui.
Cerezo segera memperkemaskan rentak untuk memburu gol penyamaan. Hasilnya, Nakajima menyumbat gol penyamaan pada minit ke-13.
Bersambung pada babak kedua, Cerezo terus gigih memburu gol kedua. Kesungguhan mereka berhasil apabila Fernandes menyumbat gol kedua pada minit ke-54.
Albirex terus bernasib malang apabila bek kanan, Soya Fujiwara menyumbat gol sendiri pada minit ke-81. Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Cerezo merapatkan jurang dengan Kawasaki Frontale yang menduduki tangga kelapan liga dengan satu mata. Cools pula mendapat markah 7.2 daripada Sofascore dalam aksi berkenaan.
Selepas ini, Cools dan Cerezo akan berdepan cabaran pasukan kelima liga, Machida Zelvia pada 16 Ogos ini.