Persatuan Bola Sepak Perak (Perak FA) mengambil iktibar daripada kes membabitkan bekas jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim.
Legenda KL City FC itu dianugerahkan pampasan berjumlah RM1.04 juta oleh Mahkamah Perusahaan baru-baru ini.
Ini selepas mahkamah mendapati keputusan pengurusan Perak FC memecat Teong Kim sebagai tidak matang, tidak berasas dan didorong oleh pertimbangan komersial.
Susulan itu, Perak FC diarah membayar pampasan kepada beliau. Angka RM1.04 juta dikira berdasarkan baki kontrak beliau selama 16 bulan dan gaji bulanan sebanyak RM65,000.
Presiden Perak FA, Dato’ Haji Azhar Jamaluddin menyifatkan kes tersebut sebagai sebagai pengajaran berguna buat semua kelab bola sepak di Malaysia.
“Kami menganggap perkara ini sebagai pengajaran penting bukan sahaja untuk PAFA, tetapi juga kepada semua Persatuan Bola Sepak (FA) dan kelab bola sepak (FC) di seluruh negara.
“Isu pengurusan kewangan dan bajet operasi pasukan tidak boleh dipandang ringan. Perbelanjaan perlu diurus secara berhemah, terkawal, dan berintegriti demi kelangsungan serta kestabilan pasukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Perak FA turut berharap pengurusan Perak FC mencapai penyelesaian segera dan bijaksana terutama melibatkan tuntutan daripada bekas pemain pasukan itu. Ini memastikan semua pihak mendapat keadilan yang sewajarnya.
“PAFA berharap Perak FC melalui XOX, dapat menyelesaikan kes ini dengan bijaksana dan secepat mungkin, khususnya melibatkan tuntutan bekas pemain Perak FC, agar semua pihak mendapat keadilan sewajarnya,” tambahnya.
Perak FA kini fokus kepada saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26. Pasukan itu merekodkan satu kekalahan dan satu keputusan seri setakat ini.