Liga Super: Selangor Menang Selesa Atasi Brunei DPMM
MakanBola
SELANGOR FC

Selangor berjaya membenam cabaran skuad dari Brunei dengan keputusan 3-0 di hadapan penyokong sendiri pada Selasa.

Pasukan tuan rumah, Selangor menurunkan Kalamullah Al Hafiz di bahagian penjaga gol dan Nooa Laine sebagai kapten pasukan manakala Willian Lira mengetuai jentera serangan.

Selepas itu, DPPM membariskan Ramadhan Sananta sebagai ayam tambatan skuad tersebut manakala Kristijan Naumovski di bahagian benteng terakhir skuad dari Brunei tersebut.

Selangor hanya memerlukan 5 minit pertama untuk memecahkan kebuntuan jaringan menerusi pemain import baharu dari Thailand, Kevin Deeromram bagi memastikan Selangor mendahului dengan satu jaringan.

Tersentak dengan jaringan tersebut skuad DPMM melancarkan beberapa serangan berbahaya dan Ramadhan Sananta berjaya menjaringkan gol namun jaringan tersebut dibatalkan kerana kedudukan ofsaid.

Perlawanan berlangsung dengan intensiti yang sangat tinggi oleh kedua-dua pasukan bagi mencari kemenangan pertama selepas kedua-dua kelab gagal memenangi perlawanan pertama Liga Super musim ini.

Kevin Deeromram sekali lagi menambah jaringan bagi skuad The Red Giants untuk memberikan keselesaan buat skuad Lembah Klang dengan dua jaringan di hadapan.

DPMM terus mengasak gawang Selangor untuk mencipta jaringan pertama pada perlawanan ini namun segala usaha tersebut gagal kerana pemain-pemain Selangor sangat berdisiplin ketika bertahan.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan Selangor mendahului dengan dua jaringan.

Keluar dari bilik persalinan, kedua-dua pasukan terus melancarkan beberapa serangan berbahaya terutamanya dari Selangor.

Selangor mempunyai kelebihan beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri bagi mengutip tiga mata penuh pertama musim ini.

Memasuki minit ke 60, Faisal Halim dimasukkan bagi membantu mendapatkan jaringan tambahan sekaligus menutup ruang buat pasukan DPMM mencari kemenangan.

Berselang beberapa minit, Chrigor Moraes berjaya membuka akaun jaringan bersama Selangor bagi memastikan The Red Giants menjarakkan kedudukan dengan tiga jaringan.

Kelibat bekas penyerang sensasi Harimau Malaya, Syafiq Ahmad dibawa masuk oleh DPMM bagi membantu serangan skuad tersebut.

Pasukan Selangor melakukan beberapa serangan dan pertukaran pemain pada akhir minit perlawanan bagi mencari gol tambahan untuk menutup peluang DPMM.

Perlawanan tamat dengan keputusan 3-0 memihak kepada pasukan Selangor bagi memastikan tiga mata penuh pertama musim 2025-2026.