Terengganu FC bangkit daripada ketinggalan sebelum mengikat PDRM FC 2-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Peteh berharap dapat merekodkan kemenangan ke atas PDRM buat kali pertama sejak Mac 2023. The Cops pula memburu kemenangan selepas diikat 2-2 oleh Brunei DPMM FC.
Gabriel Silva, Akhyar Rashid dan Yann Mabella terus menjadi sandaran gol Terengganu. Henri Doumbia dibawa masuk menggantikan penyerang muda Nigeria, Elisha Kashim.
Separuh masa pertama menyaksikan Peteh berusaha menembusi gawang pelawat menerusi Silva, Akhyar dan Mabella.
Malangnya, gawang tuan rumah bocor pada minit ke-13. Doumbia pantas menyudahkan hantaran Safiee Ahmad melepasi penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin.
Tersentak, Peteh mula mengasak benteng PDRM diketuai orang besi Myanmar, Kyaw Min Oo. Mabella hampir menyamakan pada minit ke-33 tetapi dinafikan penjaga gol The Cops, Ifwat Akmal Chek Kassim.
Bekas pemain Perak FC, Careca hampir menyumbat gol penyamaan pada minit akhir babak pertama. Walau bagaimanapun, Ifwat Akmal pantas menafikan tandukan beliau.
Kecekapan bekas penjaga gol Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Terengganu terus memberi tekanan kepada PDRM untuk memburu gol penyamaan.
Malangnya, gawang mereka bocor lagi buat kali kedua pada minit ke-57. Doumbia berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum menolak bola ke arah gawang Terengganu yang kosong.
Penyokong Peteh kembali ceria apabila Azam Azmi Murad mengurangkan defisit enam minit selepas itu. Situasi ini mendorong Terengganu memasukkan Baqiuddin Shamsudin, Saiful Jamaluddin dan Khalaif Naskam sebagai pemain gantian.
Doumbia nyaris mencipta hatrik pada minit ke-73 selepas berjaya mengatasi cabaran Azam. Bekas penyerang Chainat FC itu hampa apabila rembatannya mudah ditangkap Suhaimi.
Terengganu nyaris mendapat gol penyamaan menerusi Mabella pada minit ke-82. Penyokong Peteh hampa apabila bola tersebut pantas dikeluarkan Amir Saiful Badeli sebelum melepasi garisan gol.
Terengganu kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil, Nazmi Nasaruddin. Ini selepas Nazmi mengesan bola terkena tangan Safiee.
Mabella tenang menewaskan Ifwat Akmal bagi menjadikan kedudukan 2-2. Masa tambahan selama sembilan minit menyuntik semangat Peteh memburu gol kemenangan.
Walau bagaimanapun, keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Terengganu dan PDRM masing-masing kekal di tangga kedua dan keenam liga dengan empat dan dua mata.
Selepas ini, Peteh akan berdepan Imigresen FC untuk aksi pertama pusingan 16 Piala FA pada 17 Ogos. The Cops pula akan menentang Negeri Sembilan FC untuk aksi sama pada 18 Ogos.