Alto Linus: Kalau 11 Lawan 11, Sabah Boleh Dapat Keputusan Lebih Baik
MakanBola
SABAH FC

Pemangku jurulatih Sabah, Alto Linus menganggap jika Dean Pelekanos tidak dilayangkan kad merah, Sabah boleh mendapatkan keputusan lebih baik ketika bertemu KL City.

Sabah berkunjung ke ibu kota bagi membuka tirai aksi Liga Super musim 2025-2026 dengan bertemu KL City pada Rabu.

Pada aksi tersebut, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata setelah terikat 1-1 hasil jaringan Declan Lambert dan tandukan Gabriel Peres.

Antara momen tumpuan ketika perlawanan tersebut adalah apabila pemain Sabah, Dean Pelekanos dilayangkan kad merah pada penghujung separuh masa yang pertama.

Kad merah tersebut tampak memberikan kesan yang besar kepada corak permainan Sabah, malah mengubah tempo permainan kedua-dua pasukan.

Menurut Alto Linus, pasukannya mampu meraih 3 mata penuh sekiranya pemain tengah beliau, Dean Pelekanos tidak dilayangkan kad merah pada penghujung separuh masa pertama hasil terjahan keras ke atas pemain KL City.

“Kita mempunyai lagi banyak peluang sebenarnya untuk mendahului perlawanan ini sebelum bermain dengan 10 orang. Saya rasa kalau kita seimbang 11 lawan 11 kita akan mendapatkan keputusan yang lebih baik,” kata Alto Linus ketika sidang media selepas perlawanan.

Selepas ini, Sabah bakal meneruskan aksi dalam saingan Piala FA menentang Bunga Raya manakala KL City akan bertemu Kelantan The Real Warriors.