Semua pemain Chelsea bersetuju mendermakan wang berjumlah AS$500,000 (RM2.1 juta) kepada keluarga Diogo Jota dan Andre Silva.
Portal Give Me Sports melaporkan wang tersebut diambil daripada bahagian bonus para pemain The Blues yang memenangi Piala Dunia Kelab 2025 pada Julai lalu.
Kejayaan bergelar juara menyaksikan Chelsea meraih hadiah wang berjumlah £84.4 juta (RM482 juta). £11.4 juta (RM65 juta) kemudiannya diperuntukkan sebagai bonus buat para pemain dan staf kejurulatihan.
Pengurusan Chelsea dan para pemain sebulat suara bersetuju sebahagian bonus kemenangan berjumlah AS$500,000 (RM2.1 juta) disalurkan kepada keluarga Jota dan Silva.
Jota dan adiknya, Silva meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Zamora, Sepanyol pada 3 Julai lalu.
Berita tersebut mengejutkan dunia bola sepak pada ketika itu. Susulan itu, Liverpool mengumumkan mereka akan merehatkan terus nombor 20 (nombor jersi Jota) di semua peringkat pasukan sebagai menghormati pemergian Jota.
Yayasan Liverpool FC turut mengumumkan satu program akar umbi akan dilancarkan dan dinamakan sempena nama bekas bintang Wolverhampton Wanderers itu.