Footy Rankings Ramal JDT Miliki Peluang 99% Juarai Liga Super
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kelab gergasi selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat memiliki peluang cerah bergelar juara Liga Super musim 2025/26.

Ini berdasarkan ramalan Footy Rankings tentang siapa pasukan yang akan bergelar juara dan naib juara liga pada akhir musim tersebut.

Footy Rankings menyatakan JDT memiliki peluang sebanyak 99.7% untuk meraih kejuaraan liga buat kali ke-12.

Halaman tersebut turut menyatakan akan ada empat pasukan yang akan merebut slot naib juara liga. Ini kerana slot tersebut merupakan slot kelayakan merit ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Empat pasukan tersebut ialah naib juara musim lalu, Selangor FC, Sabah FC, KL City FC dan Terengganu FC.

Selangor memiliki peluang sebanyak 70% untuk mengekalkan pencapaian tempat kedua buat kali ketiga berturut-turut.

Sabah, Terengganu dan KL City pula masing-masing memiliki peluang sebanyak 11%, 8% dan 5% untuk merampas kedudukan tersebut daripada Merah Kuning.

Untuk rekod, ramalan ini bersifat awal dengan mengambil kira Liga Super baru saja bermula. Ramalan Footy Rankings dijangka berubah terutama membabitkan perebutan slot naib juara.