Penyerang Buangan Liverpool Mula Tunjuk Belang Di Arab Saudi
MakanBola
Al-Hilal FC

Bekas penyerang Liverpool, Darwin Nunez dilihat semakin berbisa selepas menyertai kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal.

Terbaru, Nunez membantu The Blue Waves merekodkan kemenangan 3-2 ke atas kelab divisyen tiga Jerman, SV Waldhof Mannheim.

Selepas membelasah FC Aarau 6-0, Al-Hilal yang dibimbing bekas jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi berharap dapat menutup pramusim dengan kemenangan.

Ini terbukti dengan Inzaghi menurunkan barisan terkuat untuk menghadapi cabaran Waldhof Mannheim. Ini termasuk Nunez yang bergandingan dengan Malcom dan Salem Al-Dawsari di bahagian serangan.

Penyerang Uruguay itu menyumbat salah satu gol Al-Hilal dalam aksi berkenaan. Dua lagi gol The Blue Waves disumbang oleh Theo Hernandez dan bekas pemain Manchester City, Joao Cancelo.

Waldhof Mannheim menyumbat dua gol tetapi itu tidak cukup menghalang kelab Arab Saudi itu merekodkan kemenangan.

Al-Hilal bertuah kerana tidak mengalami kejutan sepanjang kempen pramusim mereka. Ini berbeza dengan musuh tradisi, Al-Nassr yang menjadi mangsa kejutan kelab divisyen dua Sepanyol, Almeria.

Nunez sudah menjaringkan dua gol dalam dua aksi pramusim Al-Hilal. Sebelum ini, beliau turut meledakkan gol buat kelab itu ketika menentang Aarau.

Selepas kempen pramusim di Jerman, The Blue Waves akan meneruskan persiapan pramusim di Arab Saudi. Mereka akan memulakan kempen liga dengan menentang Al-Riyadh pada 29 Ogos ini.