4 Tonggak Utama Malaysia B-23 Lapor Diri Lewat?
MakanBola
Malaysia NT

Empat tonggak Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) dilaporkan bakal lewat melapor diri untuk tugasan kelayakan Piala Asia B-23 2026.

Empat pemain tersebut ialah Fergus Tierney, Ubaidullah Shamsul Fazili, Aliff Izwan Yuslan dan Muhammad Abu Khalil. Khabar ini dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

“Skuad 25 pemain ke kelayakan Piala Asia B-23, difahamkan Ubaidullah Shamsul, Fergus Tierney, Aliff Izwan Yuslan dan Muhammad Abu Khalil akan sertai pasukan kemudian!” katanya di X.

Kelewatan kuartet ini melapor diri berkemungkinan disebabkan penyertaan pasukan mereka dalam saingan aksi pertama pusingan 16 Piala FA.

Ini kerana aksi pertama pusingan 16 kejohanan itu akan berlangsung dari 16 hingga 18 Ogos ini. Pasukan Muhammad dan Aliff Izwan, Selangor FC akan menentang Malaysia University FT (MUFT) pada 16 Ogos.

Tierney pula dijangka berada dalam perancangan jurulatih Sabah FC, Jean-Paul de Marigny untuk aksi menentang Bunga Raya FC pada 17 Ogos.

Khidmat Ubaidullah pula akan ditagih Badrul Afzan Razali untuk aksi Terengganu FC menentang Imigresen FC pada hari yang sama.

Terdahulu, barisan 25 pemain Malaysia B-23 yang dipanggil untuk kempen kelayakan Piala Asia B-23 2026 akan melapor diri pada 17 Ogos.