Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menundukkan pasukan UM Damansara dalam perlawanan timbal balik pertama pusingan 16 Piala FA pada Sabtu.
Perjalanan JDT dalam mempertahankan kejuaraan Piala FA menyaksikan skuad Harimau Selatan ini berhasil mengatasi cabaran pasukan Liga A1 Semi Pro, UM Damansara United dengan keputusan 3-0.
Gandingan Bergson dan Romel Morales menjadi taruhan JDT bagi menggempur kubu lawan manakala UM Damansara pula turun dengan formasi 5-4-1 ditunjangi oleh bek tengah, Hariz Mansor.
Seperti dijangka, pasukan Harimau Selatan ini tampak selesa mengawal sebahagian besar permainan namun sedikit buntu bagi memecahkan benteng kebal pertahanan UM Damansara ini.
Malang menimpa UM Damansara apabila kapten pasukan, Hariz Mansor dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-37 setelah didakwan melakukan terjahan lewat ke atas Teto Martin.
Kelebihan seorang pemain digunakan dengan baik oleh JDT apabila berjaya menembusi gawang lawan pada minit ke-44 menerusi Jonathan Silva yang menampan hantaran Shahrul Saad.
Separuh masa pertama tamat, UM Damansara United 0-1 JDT.
Bersambung babak kedua, asakan tanpa henti dilancarkan oleh jentera serangan JDT ke arah gawang UM Damansara yang dikawal ketat oleh Ameerul Eqhwan bersama barisan pertahanan.
Usaha skuad Harimau Selatan itu berjaya membuahkan hasil pada minit ke-54 apabila Jonathan Silva sekali lagi mencipta nama selaku penjaring setelah menanduk hantaran oleh Enzo Lombardo.
Pemain muda dari Sepanyol, Teto Martin kemudiannya tampil dengan gol ke-3 buat JDT setelah rembatan leretnya berjaya menewaskan Ameerul Eqhwan di sudut sebelah kanan pintu gawang.
Sepakan penalti oleh Joao Figueiredo selain jaringan Celso Bermejo di lewat aksi melengkapkan malam gemilang buat juara bertahan Piala FA itu memperoleh bekalan 5 gol dari aksi ini
Aksi di Stadium Sultan Ibrahim berakhir dengan keputusan 5-0 memihak JDT.