Hasrat Cerezo Osaka dan Dion Cools meneruskan rentak kemenangan dalam J League terbantut apabila tewas kepada Machida Zelvia.
Cerezo kembali bersemangat selepas menewaskan Albirex Niigata 3-1. Zelvia pula mahu meneruskan rentak kemenangan kepada 10 kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.
Cools diberi tugas memimpin benteng Cerezo. Shota Fujio mengetuai jentera serangan tuan rumah.
Sebaik perlawanan dimulakan, Zelvia berusaha mencari gol awal. Henry Heroki Mochizuki menyangka telah menyumbat gol pendahuluan pada minit ke-10.
Walau bagaimanapun, Zelvia hampa apabila gol tersebut kemudiannya dibatalkan oleh VAR. Tuan rumah akhirnya mendapat gol pertama menerusi Na Sang-ho pada minit ke-21.
21 minit kemudian, Kotaro Hayashi menggandakan kelebihan Zelvia. Ini membolehkan tuan rumah mendahului 2-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Cerezo memasukkan bekas pemain Manchester United, Shinji Kagawa dan Kyohei Yoshino untuk mengubah momentum perlawanan.
Malangnya, perubahan yang didambakan jurulatih Cerezo, Arthur Papas tidak berlaku. Sebaliknya, Zelvia menyumbat gol ketiga menerusi Oh Se-hun pada minit ke-78.
Gol tersebut memastikan Zelvia meraih kemenangan 3-0 pada akhir perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Zelvia terus merapatkan jurang dengan dua pasukan teratas liga, Kyoto Sanga dan Kashima Antlers kepada dua mata.
Cerezo pula terus kekal di tangga kesembilan liga dengan 37 mata. Mereka hanya dipisahkan dua mata dengan Kawasaki Frontale yang menduduki tangga kelapan.
Kemenangan ini juga dilihat amaran Zelvia kepada pencabar pasukan itu dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE). Ini termasuk juara Liga Super 11 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Penjaga gol Zelvia, Kosei Tani dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.0.
Selepas ini, Cerezo akan menentang Vissel Kobe pada 23 Ogos. Zelvia pula akan turun menentang Gamba Osaka pada 20 Ogos.