Pemain Berdarah Indonesia Ledak Gol Sulung Di EPL
MakanBola
Man City

Pemain kebangsaan Belanda yang miliki susur galur daripada Indonesia mencipta jaringan di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Manchester City pada awal pagi Ahad.

Tijjani Reijnders sertai pasukan Manchester City pada jendela perpindahan musim panas yang lalu dari kelab Itali, AC Milan dengan yuran sebanyak 55 juta Euro beserta kontrak selama 5 tahun.

Kehadiran Reijnders di dalam pasukan ini memberikan pilihan tambahan buat Pep Guardiola untuk menambah kekuatan di jentera tengah The Cityzens dalam saingan EPL bagi musim kali ini.

Pada aksi minggu pertama EPL, pasukan Manchester City ini dijadualkan bertandang ke Stadium Molinuex untuk bertemu Wolves dengan misi mengutip 3 mata berharga dari tempat lawan.

Nama Reijnders menjadi pilihan Pep Guardiola untuk berada dalam kesebelasan utama dan bergandingan bersama Nico Gonzalez dan kapten pasukan, Bernando Silva pada aksi kali ini.

Hasilnya, abang kandung kepada pemain Indonesia, Eliano Reijnders ini berjaya membuka akaun gol di pentas EPL ini dengan jaringan kedua buat Manchester City pada minit ke-37.

Gol itu terhasil menerusi serangan balas pantas oleh Oscar Bobb yang berjaya merampas bola dari tengah padang sebelum dihantar kepada Reijnders yang membuka larian di sebelah kiri.

Peluang tersebut tidak disia-siakan oleh pemain kebangsaan Belanda itu untuk melepaskan satu percubaan kencang yang membuatkan penjaga gawang Wolves, Jose Sa itu tertewas.

Malah, Reijnders turut membuat satu bantuan jaringan untuk Erling Haaland mencetak salah satu gol ketika permainan di babak kedua sekaligus memberi kelebihan 3 jaringan buat pelawat.

Keputusan akhir menyaksikan Manchester City mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Wolves dengan Erling Haaland dan Rayan Cherki turut melakar nama selaku penjaring pada aksi tersebut.