LaLiga: Facundo Garces Bantu Alaves Tewaskan Levante
MakanBola
Deportivo Alaves

Orang besi Harimau Malaya, Facundo Garces ceria apabila membantu kelabnya, Alaves merekodkan kemenangan dalam aksi pembukaan LaLiga.

Bek tengah berusia 25 tahun itu membantu Babazorros menewaskan Levante 2-1 di Stadium Mendizorrotza.

Garces diberi kepercayaan menerajui benteng Alaves bersama bek tengah Argentina, Nahuel Tenaglia oleh jurulatih, Eduardo Coudet.

Babazorros terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada separuh masa pertama menerusi Toni Martinez. Martinez menanduk bola hantaran Carles Arena yang menewaskan penjaga gol Los Azulgranas, Pablo Cunat.

Tersentak, Levante kembali mengatur rentak pada separuh masa kedua untuk memburu gol penyamaan. Ini termasuk membawa masuk Jose Luis Morales sebagai pemain gantian.

Hasilnya, bekas pemain pertahanan Borussia Dortmund, Jeremy Toljan menyamakan kedudukan buat pelawat pada minit ke-68.

Tatkala ramai penyokong menyangka perlawanan berakhir dengan keputusan seri, Tenaglia memusnahkan harapan satu mata Levante.

Bekas orang besi Tallares itu mengambil kesempatan daripada situasi kelam-kabut dalam kotak penalti untuk menyumbat gol kemenangan pada minit ke-92.

Keputusan ini menyaksikan Babazorros menduduki tangga keempat dengan tiga mata selepas satu perlawanan.

Selepas ini, Alaves dan Garces bakal berdepan Real Betis dalam aksi liga berikutnya pada 23 Ogos ini.