Dua pemain yang berpangkalan di luar negara memperkuat cabaran Malayan Tigress B-16 untuk kempen Kejuaraan Wanita B-16 ASEAN 2025.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang dipilih jurulatih, Leila Chua.
Harimau Abroad memaklumkan dua pemain luar negara yang terpilih dalam senarai itu ialah Gia Athena Notaras dan Dishanna Nagarajan Pillay.
Gia Athena yang beraksi di bahagian tengah berpangkalan di Thailand. Dishanna pula berpangkalan di Vancouver, Kanada.
Ini bukan kali pertama Dishanna dipanggil menyertai skuad Malayan Tigress. Sebelum ini, beliau turut dipilih menyertai skuad Malayan Tigress B-20 untuk kempen kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026.
Skuad negara akan membuka kempen Kumpulan A Kejuaraan Wanita B-16 ASEAN 2025 dengan menentang Timor Leste pada 22 Ogos.
Ini disusuli aksi menentang tuan rumah, Indonesia pada 24 Ogos. Kedua-dua perlawanan akan diadakan di Stadium Manahan, Surakarta.
Tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan berentap di peringkat separuh akhir pada 27 Ogos. Aksi final dan penentuan tempat ketiga pula diadakan pada 29 Ogos.