Malaysia B-23 Asah Taring Berdepan Dua Negara Timur Tengah
MakanBola
MALAYSIA NT

Skuad Malaysia B-23 terbang awal ke Thailand pada Isnin bagi melakukan persiapan awal menentang dua negara Timur Tengah.

Seramai 25 pemain telah dipanggil oleh Nafuzi Zain untuk aksi Kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Pathum Thani, Thailand pada 1-9 September.

Sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 ini, skuad muda negara telah dijadualkan bertemu dua negara Timur Tengah di Thailand.

Menurut Nafuzi Zain, Malaysia bakal menghadapi ujian Kuwait dan Oman terlebih dahulu bagi memastikan skuad negara berada di prestasi terbaik ketika aksi Kelayakan Piala Asia B-23.

“Perlawanan persahabatan di Bangkok menjadi persiapan terbaik dengan menentang pasukan Kuwait dan Oman seperti mana kita merancang,” katanya ketika ditemui di Padang Latihan Sime Darby.

Nafuzi Zain turut percaya bahawa 3 aksi pemanas badan sebelum sepak mula skuad Malaysia B-23 di kempen Kelayakan Piala Asia mampu memberi tonik tambahan.

Tambah beliau, “Saya rasa 3 perlawanan persahabatan tersebut merupakan persediaan terbaik sebelum bertemu Lubnan di perlawanan pertama Kelayakan Piala Asia B-23,” ujarnya lagi.

Harimau Malaya B-23 akan membuka kempen Kelayakan Piala Asia B-23 dengan menentang Lubnan pada 3 September manakala bertemu Mongolia selang 3 hari dan bakal melengkapkan aksi peringkat kumpulan dengan melawan Thailand pada 9 September 2025.