Tiada Pemain Warisan Dalam Skuad Malaysia B-23
MakanBola
Malaysia NT

Pengendali skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain memaklumkan tiada pemain warisan untuk membantu pasukan itu menghadapi kelayakan Piala Asia B-23 2026.

Sejak kebelakangan ini, ramai pemain warisan yang beraksi dalam skuad senior Harimau Malaya. Antaranya Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Hal ini membuatkan ramai peminat bola sepak negara ingin tahu sama ada skuad Malaysia B-23 juga akan menerima pemain warisan atau tidak.

Apabila ditanya tentang perkara tersebut, bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu memaklumkan skuad Malaysia B-23 tidak memiliki pemain warisan.

Sebaliknya, Nafuzi akan memanfaatkan kudrat pemain tempatan bagi menghadapi cabaran kelayakan Piala Asia B-23 2026.

“Semua pemain yang kita gunakan ialah pemain tempatan,” katanya kepada media ketika hari pertama sesi latihan di Bukit Jelutong minggu lalu.

Nafuzi turut memaklumkan beliau akan memanfaatkan sepenuhnya barisan pemain yang dipanggil untuk kempen kelayakan Piala Asia B-23.

“Tiada, setakat ini pemain tempatan sahaja (untuk harungi Kelayakan Piala Asia B-23),” ujarnya.

Malaysia akan membuka kempen Kumpulan F dengan menentang Lubnan pada 3 September. Ini disusuli aksi menentang Mongolia pada 6 September dan tuan rumah, Thailand (9 September).

Skuad negara turut mendapat berita gembira apabila tonggak pertahanan, Ubaidullah Shamsul Fazili sah menyertai kem. Beliau juga sudah turun menjalani latihan bersama skuad Malaysia B-23.