Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) terus mengorak langkah dengan menjalinkan kerjasama dengan jenama fesyen terkenal, Amar Amran.
Kerjasama itu diumumkan menerusi satu pengumuman yang disiarkan di platform rasmi pasukan Pantai Timur itu.
“Kelantan Red Warrior FC dengan bangganya mengumumkan Amar Amran, jenama fesyen terkemuka sejak tahun 1975, sebagai penaja rasmi KRW FC bagi musim ini.
“Kerjasama ini bukan sekadar penajaan, tetapi simbol sinergi antara tradisi, gaya, dan semangat juang.
“Seperti mana Amar Amran sinonim dengan nilai kualiti, elegan dan keyakinan, begitu jugalah KRW FC membawa identiti penuh disiplin, semangat dan kebangkitan dalam dunia bola sepak tanah air,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Kelantan RW percaya kerjasama ini bukan saja bersifat menang-menang kepada kedua-dua pihak. Malah, ini dapat membantu pengurusan kelab membina satu pasukan yang mantap.
Berita ini dijangka menyuntik motivasi anak buah Irfan Bakti menjelang aksi sulung mereka dalam Liga A1 Semi-Pro. Mereka akan menentang UM-Damansara United pada 22 Ogos ini.
Kelantan RW menutup kempen pramusim dengan meraih keputusan 1-1 dengan FC Yala baru-baru ini.