Negeri Sembilan berjaya merebahkan skuad The Cops pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA musim 25-26 di halaman sendiri.
Skuad tuan rumah, Negeri Sembilan menurunkan Azri Ghani di bahagian penjaga gol dan Takumi Sasaki menggalas lilitan kapten manakala Jovan Motika mengetuai di bahagian serangan.
Sementara itu, pasukan PDRM membariskan Ifwat Akmal di benteng gawang dan Kyaw Min Oo sebagai ketua skuad The Cops pada perlawanan malam ini.
Skuad The Jangs bermula dengan sangat garang apabila berjaya mendapat sepakan percuma seawal minit ke 2′ hasil kesilapan pihak lawan.
Negeri Sembilan berjaya membuka akaun jaringan dengan sepakan percuma tersebut oleh pemain berprolifik dari Bosnia, Jovan Motika bagi meletakkan skuad tuan rumah di hadapan.
Tersentak dengan jaringan tersebut pasukan PDRM turut melancarkan beberapa serangan berbahaya namun kecekapan bekas penjaga gol KL City, Azri Ghani harus diberi pujian.
PDRM terpaksa meneruskan aksi perlawanan dengan 10 pemain seawal minit ke 9′ kerana Noel Agbre dilayangkan kad merah.
PDRM hampir menghukum kesilapan pemain Negeri Sembilan di bahagian pertahanan pada minit ke 37′ namun percubaan Fadi Awad tersasar dari gawang skuad tuan rumah.
Jovan Motika sekali lagi memecahkan jaringan buat skuad The Jangs melalui gerakan cantik ketua pasukan, Takumi Sasaki bagi memberikan kelebihan 2 gol.
Skuad tuan rumah, Negeri Sembilan tampak menguasai penuh perlawanan separuh masa pertama dengan tambahan gol menerusi Joseph Esso pada minit ke 45′
Kesilapan penjaga gol PDRM, Ifwat Akmal hampir memberikan jaringan ke 4 buat pasukan tuan rumah namun gol tersebut dibatalkan kerana Takumi Sasaki dilihat menolak penjaga gol tersebut.
Separuh masa pertama tamat dengan keputusan 3-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Negeri Sembilan.
Keluar dari bilik persalinan, Skuad Negeri Sembilan berjaya menjaringkan gol menerusi Takumi Sasaki namun jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil.
Negeri Sembilan terus mengasak kubu skuad The Cops walaupun sudah menjarakkan kedudukan dengan 3 jaringan.
PDRM dilihat bermain dengan lebih berdisiplin di separuh masa kedua apabila skuad tuan rumah banyak melakukan rembatan berbahaya ke gawang The Cops namun tambahan jaringan tidak dapat dihasilkan.
Memasuki minit ke 64′ Negeri Sembilan melakukan pertukaran dengan memasukkan Mio Tsuneyasu dan mengeluarkan peledak berbisa mereka iaitu Jovan Motika.
Mio Tsuneyasu menambah luka skuad PDRM pada aksi malam ini dengan menjaringkan gol keempat hasil gerakan cantik dalam kawasan kotak penalti PDRM pada minit ke 74′.
Selepas itu, Joseph Esso menjaringkan gol kedua beliau bagi aksi ini pada minit ke 82′ untuk memastikan 5 bekalan gol dibawa ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Perlawanan separuh masa kedua tamat dengan keputusan 5-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Negeri Sembilan.
Negeri Sembilan bakal meneruskan aksi dalam Liga Super dengan menentang Selangor manakala PDRM menerima kunjungan skuad Melaka di halaman sendiri.