Nilai terbaru Johor Darul Ta’zim (JDT) di pasaran kini mencecah €14.1 juta (RM69.5 juta).
Ini berdasarkan data terkini di Transfermarkt berhubung 10 kelab paling bernilai di Asia Tenggara untuk musim 2025/26.
Sebelum ini, pasukan itu memiliki nilai sebanyak €10.83 juta (RM53.3 juta) pada tahun 2024. Ini menunjukkan JDT mengalami peningkatan sebanyak €3.3 juta (RM16 juta).
Hal ini dibantu dengan kehadiran ramai pemain berkualiti yang direkrut pengurusan Harimau Selatan untuk menghadapi musim 2025/26.
Antara pemain yang direkrut JDT ialah Nacho Mendez, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Antonio Glauder, Jairo da Silva dan Jonathan Silva.
Satu lagi wakil Malaysia, Selangor FC menunjukkan penurunan nilai sebanyak €420,000 (RM2 juta) kepada €6.56 juta (RM32 juta). Ini sama sekali berbeza dengan nilai pasukan itu sebanyak €6.98 juta (RM34.3 juta) pada 2024.
Rekrut termahal Selangor untuk musim 2025/26 mengikut nilai semasa di Transfermarkt ialah Chrigor Moraes. Moraes ketika ini bernilai €800,000 (RM3.9 juta).
Ini disusuli oleh Kevin Deeromram dan Willian Lira. Kevin dan Lira masing-masing bernilai €450,000 (RM2.2 juta) dan €300,000 (RM1.5 juta).
Kedudukan terkini 10 pasukan ASEAN paling bernilai ialah JDT menghuni tangga kedua di belakang pendahulu, Buriram United.
Selangor pula jatuh ke tangga kelapan selepas sebelum ini berada di tangga keenam untuk tahun 2024.