Facundo Garcés Sahkan Salasilah Bersama Malaysia
MakanBola
Haniff Che Mohamad/MakanBola

Bek kental Harimau Malaya, Facundo Garces tampil mengesahkan susur galur keturunannya bersama Malaysia.

Nama Facundo Garces terus menjadi bualan para peminat Harimau Malaya setelah debut cemerlang ketika berdepan Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia pada bulan Jun lalu.

Pertahanan Deportivo Alavés ini bukan sahaja membawa pengalaman beraksi di La Liga, malah turut hadir dengan kisah salasilah yang mengaitkan dirinya dengan Malaysia melalui moyangnya.

Menerusi wawancara bersama portal Sepanyol, El Correo, Facundo Garcés mengakui tidak pernah terbayang untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa melalui hubungan datuk dan nenek beliau.

“Saya tak pernah bayangkan bermain untuk Malaysia kerana datuk dan nenek saya, saya memang tahu dari mana asal beliau tapi tidak sangka peluang ini boleh datang,” katanya kepada El Correo.

Pengakuan ini sekaligus menegsahkan laporan media dari Argentina, Radiogoal yang pernah mendakwa bahawa nenek Facundo Garces memiliki pertalian dengan Malaysia yang membolehkannya mewakili Harimau Malaya.

”Bagi Facundo Garcés yang pernah bermain bersama Colón, difahamkan hubungan beliau dengan Malaysia adalah melalui neneknya,” lapor media dari Argentina tersebut.

Lebih manis lagi, penampilan sulung Garcés bersama skuad Malaysia berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil selain turut disaksikan lebih 60,000 peminat setia Harimau Malaya.

Pemain berusia 26 tahun itu beraksi penuh selama 90 minit serta tampil tenang mengemudi barisan pertahanan negara bersama Matt Davies dan Jon Irazabal membuatkan beliau disambut baik peminat.

“Mereka menyambut saya dengan mesra, semua orang sangat baik dan membantu, saya rasa terhormat dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” jelasnya lagi.

Dengan prestasi meyakinkan itu, Garcés dijangka sekali lagi dipanggil Peter Cklamovski menjelang aksi persahabatan antarabangsa bertemu Singapura dan Palestin pada bulan September nanti.