DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat melawat mangsa buli, Izzul Islam Azuan Isaidi.
Nama Izzul Islam menjadi bualan ramai apabila menjadi mangsa buli di sekolah sebanyak dua kali di Skudai. Pelajar berusia 10 tahun itu mengalami gegaran otak sehingga menjejaskan kehidupannya.
Lantaran itu, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) melawat Izzul Islam di Hospital Pakar Puteri KPJ, Johor Bahru sebagai tanda keprihatinan baginda.
Lawatan baginda turut disertai DYAM Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor.
Turut sama mengiringi keberangkatan Tunku Ismail ke Hospital Pakar Puteri KPJ, Johor Bahru adalah YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, YB Dato’ Asman Shah Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan bintang JDT, Arif Aiman Hanapi.
Selain bertanya khabar tentang keadaan Izzul Islam, Tunku Ismail turut memberi kata-kata semangat kepada pelajar tahun empat itu.
Baginda turut menzahirkan kebimbangannya tentang gejala buli yang dilihat semakin berleluasa. Justeru, Tunku Ismail mahu gejala itu dibanteras demi kebaikan generasi seterusnya.
“Gejala buli harus dibendung dan langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilaksanakan dengan kadar segera bagi memastikan setiap institusi pendidikan adalah kawasan yang selamat bagi kanak-kanak,” titahnya.
Kes Izzul Islam menyaksikan tujuh individu telah diambil keterangan oleh polis berhubung dua insiden buli yang dialaminya.