5 Kelibat Pemain Tumpuan Hangatkan Aksi Buriram United vs Selangor
MakanBola
BUFC/SFC

Aksi Shopee Cup antara Buriram United vs Selangor bakal menarik perhatian ramai dengan kelibat 5 pemain tumpuan ini.

Selangor terbang ke Thailand untuk membuka aksi di Shopee Cup apabila dijadualkan berdepan Buriram United yang bakal turun selaku juara bertahan kejohanan Asia Tenggara itu.

Berbekalkan prestasi semasa, anak didik Katsuhito Kinoshi ini baru sahaja mencatatkan dua kemenangan berturut-turut ke atas DPMM dan MUFT setelah kecundang di tangan JDT.

Walau bagaimanapun, tugas mencabar bakal menanti skuad Gergasi Merah ini ketika mana Buriram United berada dalam momentum terbaik setelah merekodkan 16 aksi tanpa kalah.

Beberapa rekrut baharu turut menjadi sandaran Buriram bagi musim kali ini termasuklah 2 pemain kacukan Indonesia yang tiba menyertai pasukan Thunder Castle itu baru-baru ini.

Di sebalik pertembungan epik Buriram United vs Selangor ini, terdapat 5 tonggak dijangka bakal menjadi tumpuan peminat pada aksi di Chang Arena tersebut.

1- Chrigor Moraes

Kelibat bekas pemain Buriram United ini sudah tentunya akan menjadi aset penting untuk Katsuhito Kinoshi bagi mengetuai jentera serangan berbekalkan pengalaman dimiliki Chrigor di Thailand.

Malah, peledak dari Brazil ini juga dilihat sudah pun menemui sentuhan berbisa bersama Selangor apabila membuka akaun jaringan di Liga Malaysia minggu lalu ketika mengatasi DPMM FC 3-0.

2- Quentin Cheng

Nama pertahanan kanan ini mula meraih tumpuan penyokong apabila beraksi cemerlang sebaik berada di bawah kendalian Katsuhito Kinoshi musim lalu apabila merekodkan 3 gol dan 4 bantuan jaringan.

Prestasi memukau Quentin Cheng itu tampaknya berterusan di musim ini apabila pemain berusia 26 tahun ini merekodkan hatrik ‘assists’ dalam satu perlawanan ketika bertemu Brunei DPMM minggu lalu.

3- Kevin Deeromram

Seorang lagi bekas pemain Liga Thailand, Kevin Deeromram juga dilihat mampu menjadi watak utama buat skuad Merah Kuning dalam aksi bertemu Buriram United hasil pengalaman beliau.

Kehadiran Deeromram ini begitu penting buat pasukan ketika mana pemain kacukan Thailand-Sweden ini boleh membantu pertahanan sambil mencetak gol seperti dilakukannya pada aksi lalu.

4- Guilherme Bissoli

Kehadiran Bissoli ini tidak perlu diperkenalkan lagi lebih-lebih lagi peledak kelahiran Brazil ini cukup dikenali dengan jumlah jaringan yang memukau di dalam statistik peribadi sepanjang musim.

Musim lalu sahaja, Bissoli telah merekodkan 43 gol dalam 61 aksi bagi membantu Buriram United meraih 4 trofi dan dalam perlawanan pertama liga minggu lalu, beliau sudah membuka akaun jaringan.

5- Theerathon Bunmathan

Impak Theerathon sememangnya cukup besar untuk Buriram United terutamanya kebolehannya beraksi di beberapa posisi seperti pertahanan serta tengah yang memberikan kelebihan buat Osmar Loss.

Gandingan Theerathon dan Peter Zulj dijangka bakal menjadi taruhan Buriram di jentera tengah selepas bekas pemain Liga Jepun ini juga berjaya menjaringkan salah satu gol dalam aksi liga minggu lalu.

Aksi Buriram United vs Selangor ini dijadualkan berlangsung pada Rabu dengan sepak mula perlawanan tepat pukul 8.30 malam secara langsung di saluran Astro Arena Bola.