Jurulatih Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC), E. Elavarasan mengakui belum berpuas hati dengan prestasi pasukan itu.
Kelantan TRW akhirnya merekodkan kemenangan pertama musim 2025/26 apabila menewaskan KL City FC 3-1 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA.
Gol kapten, Ifedayo Olusegun dan Sean Selvaraj menceriakan lebih 1,000 penyokong yang hadir di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV). Syamer Kutty Abba menyumbat gol saguhati buat The City Boys.
Meskipun gembira dengan kemenangan tersebut, Elavarasan merasakan ada banyak kelemahan yang perlu diperbaiki anak buahnya.
Ini termasuk keupayaan pemain Kelantan TRW menyerap tekanan apabila ditekan pihak lawan. Aspek ini membuka peluang buat Syamer Kutty menjaringkan gol pada minit ke-86.
“Saya percaya aksi timbal balik nanti macam-macam yang boleh jadi, tapi sekurang-kurangnya kemenangan ini dapat bagi keyakinan kepada pemain.
“Yang penting, prestasi mereka masih perlu dipertingkatkan sebab kita dapat tengok apabila lawan dah mula dapat gol, pemain macam was-was dan banyak bertahan daripada menyerang.
“Jadi situasi macam ini perlu dijadikan untuk mereka lebih bijak hadapi tekanan,” katanya.
The Real Warriors kini mengalihkan fokus untuk memburu kemenangan pertama dalam Liga Super. Anak buah Elavarasan akan bertemu Sabah FC di Stadium Likas pada 23 Ogos.