Shopee Cup: Lion City Sailors Hilang Dua Tonggak Bertemu JDT
MakanBola
Lion City Sailors FC

Finalis Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Lion City Sailors (LCS) kehilangan dua tonggak menjelang aksi pertama Kumpulan B Shopee Cup menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ini selepas jurulatih The Sailors, Aleksandar Rankovic mendedahkan Bailey Wright dan Hariss Harun terpaksa disisihkan akibat masalah kecederaan.

“Kita masih ada masalah kecederaan membabitkan Bailey Wright yang masih tidak boleh bermain. Kita juga belum tahu (status kecergasan) Hariss Harun.

“Anda tahu dengan peraturan tujuh pemain import untuk kejohanan ini. Jadi, saya terpaksa sisihkan mereka berdua.

“Ianya akan jadi satu cabaran untuk bentuk satu pasukan yang mantap. Walau apa pun, kita akan cuba tampilkan skuad terbaik kita,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.

Situasi ini menyaksikan Rankovic memanfaatkan khidmat Toni Datkovic, Lionel Tan dan bekas kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin sebagai pilihan di bek tengah.

LCS berharap dapat bangkit selepas dibelasah 4-1 oleh BG Tampines Rovers dalam aksi Singapore Community Shield baru-baru ini.

The Sailors bakal turun menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 21 Ogos ini. Ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi rasmi selepas tiga kali bertemu dalam aksi persahabatan.