Selangor FC terlepas peluang berada di kedudukan teratas kumpulan A setelah terikat 1-1 menentang Buriram United dalam aksi pertama Shopee Cup pada Rabu.
Perlawanan yang diadakan di Chang Arena itu menyaksikan Selangor membuka tirai jaringan terlebih dahulu pada minit ke-38 menerusi percubaan kencang Chrigor Moraes untuk pelawat mendahului.
Hasrat anak didik Katsuhito Kinoshi untuk membawa pulang 3 mata tak kesampaian apabila Peter Zulj menanduk masuk gol penyamaan Buriram United ketika masa tambahan babak yang kedua.
Dengan keputusan ini, Selangor kini berada di kedudukan ke-3 kumpulan A, berkongsi satu mata bersama Buriram United setelah berakhirnya perlawanan minggu pembukaan Shopee Cup ini.
Manakala, Tampines Rovers dari Singapura selesa memimpin kumpulan A dengan 3 mata hasil kemenangan 3-1 mengatasi kelab utama Filipina, DH Cebu dalam aksi yang berlangsung di Manila.
Satu lagi wakil dari Thailand, BG Pathum United pula berada di tangga kedua selepas bangkit menumbangkan naib juara musim lalu, CAHN 2-1 meskipun dipaksa beraksi dengan 10 pemain.
Aksi minggu kedua Shopee Cup bakal berlangsung bermula 24 September hadapan dengan Selangor bakal kembali ke Kelana Jaya untuk melayani kunjungan Tampines Rovers di laman sendiri.