Shopee Cup: Tampines Rovers ‘Hentam’ DH Cebu
MakanBola
BG Tampines Rovers FC

Kelab Singapura, BG Tampines Rovers membuka kempen Shopee Cup dengan kemenangan apabila menewaskan Dynamic Herb Cebu (DH Cebu) di Stadium Memorial Rizal.

The Staggs bersemangat selepas menjulang trofi Singapore Community Shield baru-baru ini. DH Cebu pula mahu meneruskan rentak kemenangan dalam Shopee Cup selepas menewaskan Kasuka FC di pusingan playoff.

View this post on Instagram

A post shared by BG Tampines Rovers Football Club (@tampinesrovers)

Penyerang muda Jepun, Hide Higashikawa mengetuai jentera serangan Tampines Rovers. Penyerang Senegal, Abou Sy menjadi sandaran gol The Gentle Giants.

The Staggs meraih jaringan pendahuluan seawal minit kedua menerusi Higashikawa. Penyerang yang dipinjamkan dari Tochigi City itu melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol, Rami Jeridi.

17 minit kemudian, pelawat menggandakan kelebihan mereka menerusi Dylan Fox. Bekas orang besi FC Lahti itu menanduk bola tepat ke penjuru atas gawang DH Cebu.

Penyokong The Gentle Giants kembali ceria pada minit ke-22. Abou Sy menyudahkan serangan balas pantas yang menewaskan penjaga gol Tampines Rovers, Syazwan Buhari.

DH Cebu terus memberi tekanan kepada pelawat tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Tampines Rovers terus mengasak kubu The Gentle Giants untuk memburu gol tambahan tetapi tidak berhasil.

Situasi ini mendorong jurulatih The Staggs, Akbar Nawas memasukkan Glenn Kweh dan Koya Kazama untuk menambah kreativiti di bahagian serangan.

DH Cebu pula memasukkan Bol Tong dan Leo Manquiling untuk meningkatkan ancaman di bahagian serangan. Tuan rumah masih percaya mereka dapat memburu gol penyamaan.

Malangnya, gawang DH Cebu bocor buat kali ketiga menerusi serangan pantas Trent Buhagiar pada minit ke-97. Keputusan 3-1 menyaksikan The Staggs mendahului Kumpulan A Shopee Cup dengan tiga mata.

Kedudukan ini dijangka berubah apabila dua lagi aksi Kumpulan A berlangsung pada hari ini.

Selepas ini Tampines Rovers akan menentang Geylang International untuk aksi liga seterusnya pada 24 Ogos. The Gentle Giants pula akan menentang Cong An Ha Noi FC (CAHN FC) pada 24 September.