Shopee Cup: Selangor Curi Satu Mata Dari Buriram United
MakanBola
SELANGOR FC

Buriram United berjaya mengikat cabaran pasukan pelawat, Selangor pada minit kecederaan separuh masa kedua dengan keputusan perlawanan tamat 1-1 di Chang Arena pada Rabu bagi aksi pembukaan Shopee Cup.

Skuad Buriram United menurunkan Chatchai Budprom di bahagian penjaga gol dan Guilherme Bissoli mengetuai jentera serangan manakala Supachai Chaided menggalas lilitan kapten pasukan Buriram United pada malam ini.

Selain itu, Selangor membariskan Kalamullah Al Hafiz di benteng gawang dan Chrigor Moraes mengemudi bahagian serangan manakala Faisal Halim mengetuai skuad Lembah Klang tersebut bagi aksi ini.

Selangor berjaya mendapatkan sepakan percuma seawal minit ke 4′ di luar kawasan kotak penalti hasil terjahan keras pemain Buriram United ke atas Faisal Halim namun sepakan tersebut tersasar.

Skuad The Red Giants dilihat menguasai 15 minit pertama dengan melakukan beberapa percubaan dan serangan berbahaya ke gawang Buriram United.

Memasuki minit ke 30, Buriram United tampak mula mendapat rentak permainan apabila melepaskan satu tandukan dari Sandy Walsh di kawasan kotak penalti namun diselamatkan oleh Abualnadi.

Selangor berjaya membuka akaun jaringan perlawanan dengan ledakan berbisa oleh Chrigor Moraes pada minit ke 37′ bagi memastikan The Red Giants berada di hadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut Buriram United terus melancarkan percubaan ke gawang Selangor namun disiplin skuad tersebut di bahagian pertahanan harus diberi pujian.

Memasuki masa kecederaan separuh masa pertama, Quentin Cheng dilayangkan kad kuning apabila melakukan kekasaran ke atas pemain Buriram United, Sasalak.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat, Selangor.

Keluar dari bilik persalinan, skuad Buriram United dilihat menyerang kubu pasukan Selangor secara berterusan dengan beberapa percubaan termasuk rembatan bebas dari luar kotak penalti oleh Robert Zulj.

Memasuki minit ke 60′ skuad Selangor melakukan pertukaran dengan memasukkan Harith Haiqal dan mengeluarkan Quentin Cheng manakala Buriram United memasukkan Theerathon Bunmathan yang menggantikan Sandy Walsh.

Perlawanan separuh masa kedua berlangsung dengan penuh intensiti tinggi bagi kedua-dua pasukan bagi memastikan membawa pulang 3 mata penuh.

Buriram United tampak menguasai hampir separuh perlawanan di separuh masa kedua namun segala percubaan dan serangan skuad tersebut berjaya ditepis oleh penjaga gol Selangor, Kalamullah Al Hafiz.

Memasuki minit kecederaan separuh masa kedua, Buriram United akhirnya memecahkan kebuntuan jaringan menerusi Peter Zulj pada minit ke 96′ bagi memastikan skuad tersebut membawa pulang mata di halaman sendiri.

Perlawanan tamat dengan keputusan terikat 1-1 bagi kedua-dua pasukan berpuas hati membawa pulang 1 mata bagi aksi pembukaan Shopee Cup.