Sandy Walsh Siku Pemain Selangor, Wajar Diberi Kad Merah?
MakanBola
Selangor FC

Pemain pertahanan baharu Buriram United, Sandy Walsh bernasib baik tidak dilayangkan kad merah dalam aksi Kumpulan A Shopee Cup menentang Selangor FC.

Ini susulan insiden yang membabitkan beliau dan pemain pertahanan Selangor, Kevin Deeromram pada separuh masa pertama.

Lensa kamera menunjukkan Walsh menerjah Kevin sebelum menyiku bekas bek kiri Port FC itu. Insiden tersebut menyebabkan bek kiri berusia 27 tahun itu mengaduh kesakitan.

Bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz menganggap bekas pemain Yokohama F. Marinos itu membuat terjahan keras sebelum menyiku Kevin.

“Satu terjahan yang keras di situ. Nampak siku (Walsh) di situ,” katanya semasa menjadi pengulas perlawanan tersebut.

Insiden tersebut tidak disedari oleh pegawai VAR dari China, Jingyuan Jin dan penolong pegawai VAR dari Korea Selatan, Lee Seul-gi.

Pemain yang didapati menyiku pemain lain boleh dilayangkan kad merah oleh pengadil mengikut buku peraturan IFAB. Kesalahan ini dikelaskan di bawah kategori kesalahan serius.

Walsh bermain selama 63 minit sebelum digantikan oleh pemain pertahanan veteran, Theerathon Bunmathan.

View this post on Instagram

A post shared by Astro Arena (@astroarenahd)

Selepas ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama, Thunder Castle bangkit mengikat Merah Kuning 1-1.

Peter Zulj muncul wira dengan membuat tandukan yang menerjah gawang Selangor pada minit akhir permainan. Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.