Penyokong Selangor ‘Tabik’ Kalamullah Al-Hafiz
MakanBola
Selangor FC

Aksi cemerlang penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi ketika menentang Buriram United dalam aksi pertama Kumpulan A Shopee Cup mendapat pujian penyokong.

Jentera serangan Buriram United terdesak memburu gol penyamaan selepas ketinggalan pada separuh masa pertama. Bekas penyerang Thunder Castle, Chrigor Moraes meletakkan Selangor di hadapan.

Bekas penjaga gol Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu sibuk menafikan setiap percubaan jentera serangan tuan rumah terutama pada babak kedua.

Ini termasuk tindakan pantas Kalamullah menepis percubaan berganda yang dibuat dua pemain Thunder Castle, Suphanat Mueanta dan Peter Zulj.

Gawang The Red Giants akhirnya bocor pada minit akhir perlawanan menerusi tandukan Zulj. Gol tersebut memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata pada akhir perlawanan.

Meskipun begitu, ramai penyokong Selangor memuji aksi cemerlang yang ditampilkan Kalamullah sepanjang perlawanan.

Seorang pengguna X bernama LuqmanelHakim percaya aksi cemerlang beliau sudah cukup untuk Kalamullah menyertai skuad Harimau Malaya pada September ini.

“(Kalamullah) berhak dipanggil untuk (kem Harimau Malaya) pada September ini,” katanya di X. Pandangan tersebut turut dipersetujui seorang pengguna Instagram bernama Muhamdarif._.

Dia percaya jika tidak kerana kecekapan bekas penjaga gol PJ City FC itu, gawang Selangor mungkin dibolosi lebih daripada sekali. “Tanpa Kalam, Selangor (mungkin) bolos lebih tiga gol,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna Instagram bernama Mrdeen pula berseloroh Kalamullah sepatutnya menjadi penjaga gol Manchester United. “Baik Kalamullah sajalah yang main untuk Manchester United,” katanya.

Khidmat Kalamullah dijangka ditagih jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi menjelang aksi liga seterusnya menentang Negeri Sembilan FC. Kedua-dua pasukan bakal berentap pada 24 Ogos ini.