Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) di Malaysia bukan satu keperluan ketika ini.
Hal ini dinyatakan beliau di Parlimen apabila ditanya oleh Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew tentang peluang Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menganjurkan semula perlumbaan permotoran berprestij itu.
Hannah memaklumkan antara halangan untuk membawa penganjuran F1 di Sepang ialah kos penganjuran sebanyak RM300 juta.
Kos tersebut perlu dibayar kepada Liberty Media selaku pemegang hak komersial F1. Selain itu, Malaysia juga perlu memeterai kontrak antara tiga hingga lima tahun sebagai tuan rumah dengan kos penganjuran mencecah RM1.5 bilion.
Hannah melihat dengan kos tersebut, ia boleh saja dimanfaatkan untuk pelbagai program sukan lain termasuk Program Podium dan Road to Gold (RTG).
“Sebagai perbandingan RM300 juta, yuran hak penganjuran F1 boleh menampung kos 5 tahun program podium untuk 363 atlet elit bagi semua sukan lain.
“10 tahun Geran Padanan Sukan menganjurkan 50 acara sukan antarabangsa di Malaysia melibatkan 300 organisasi dan 500,000 peserta,” katanya.
Hannah turut melihat faktor kalendar F1 yang padat terutama di Asia Tenggara berpotensi menjejaskan peluang Malaysia mendapatkan hak penganjuran.
“Kalendar perlumbaan F1 sangat padat dan sekiranya Malaysia berminat, kita perlu bersaing dengan negara lain untuk merebut tempat di dalam kalendar perlumbaan itu.
“F1 di negara jiran Singapura dan bakal di Thailand boleh menjejaskan pulangan penganjuran di Malaysia,” tambahnya.
Meskipun begitu, Hannah memaklumkan ini bukan bermakna peluang Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan F1 sudah tertutup.
Sebaliknya, usaha penganjuran perlumbaan F1 dapat direalisasikan jika ada pihak korporat berminat untuk membantu menampung kos penganjuran yang dinyatakan.
“Walau bagaimanapun, Malaysia tidak menutup peluang sepenuhnya untuk F1 kembali ke Malaysia jika ada pihak korporat yang berminat untuk menampung keperluan bagi yuran hak penganjuran F1.
“Pihak yang berminat boleh menghubungi SIC untuk perbincangan lanjut,” ujarnya.
Kali terakhir Sepang menjadi tuan rumah perlumbaan F1 ialah tahun 2017. Perlumbaan tahun tersebut menyaksikan pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen muncul juara.