Calon pertahanan kanan Harimau Malaya kini semakin bertambah.
Skuad kendalian Peter Cklamovski bakal bertemu dua pasukan bagi aksi kalendar FIFA bulan September menentang Singapura dan Palestin.
Pasukan negara berada pada momentum cemerlang apabila meraih kemenangan 4-0 menentang jaguh Asia Tenggara, Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Senarai pemain bagi kem latihan pusat kali ini masih belum dipanggil namun Malaysia dijangka memiliki beberapa pilihan untuk mengisi posisi pertahanan kanan pasukan negara.
Kapten Harimau Malaya, Dion Cools kini menjadi pilihan utama Cklamovski selain tampil cemerlang selaku right wing-back menentang Bintang Pahlawan Emas.
Tonggak berusia 29 tahun itu kini berhijrah ke Jepun bersama Cerezo Osaka dengan posisi tersebut juga dicabar hebat oleh pemain warisan baharu, Gabriel Palmero.
Pemain berusia 23 tahun itu tampil pada posisi tersebut ketika aksi persahabatan menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dengan beliau kini mengukuhkan tempat di Sepanyol.
Malaysia memiliki nama yang tidak asing pada posisi tersebut iaitu tonggak berpengalaman Johor Darul Ta’zim (JDT), Matthew Davies.
Beliau bagaimanapun lebih kerap diturunkan selaku pemain pertahanan tengah namun cukup versatil untuk beraksi pada mana-mana posisi pertahanan.
Malaysia bakal bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September manakala pertemuan menentang Palestin pada 8 September di Johor Bharu.