KL City FC dilaporkan sudah mempunyai calon menggantikan pemain sayap Argentina, Manuel Hidalgo.
Sebelum ini, The City Boys membuat kejutan dengan memaklumkan pemain sayap berusia 26 tahun itu akan kembali ke kelab asalnya, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Hidalgo kembali ke pangkuan Harimau Selatan selepas merekodkan dua penampilan bersama pasukan Lembah Klang itu.
Lantaran itu, ramai penyokong The City Boys berharap pengurusan kelab sudah mempunyai calon alternatif untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas pemain Sri Pahang FC itu.
Kini, wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran memaklumkan nama pemain tengah Sepanyol, Victor Ruiz dilaporkan sebagai calon pengganti Hidalgo.
“Dan Kuala Lumpur bakal menambah seorang lagi pemain sayap sebelum tetingkap perpindahan ditutup.
“Mereka kini mempertimbang untuk mendapatkan pemain tengah menyerang Sepanyol, Victor Ruiz. Beliau pernah bermain untuk St. Gallen, Al-Fayha dan beberapa kelab Sepanyol termasuk Valencia,” katanya di X.
Ruiz memiliki pengalaman beraksi di Asia kerana pernah mewakili kelab Arab Saudi, Al-Fayha dari 2022 hingga 2024.
Sekiranya perpindahan ini berjalan lancar, Ruiz bakal bersaing dengan S. Sharvin, Enzo Cora, Safawi Rasid, J. Partiban, Nicolao Cardoso, Fazrul Amir Md. Zaman, Hadi Mizei dan Arif Shaqirin Suhaimi di bahagian sayap.