Persekutuan Bola Sepak Norway (NFF) mengumumkan akan menderma hasil jualan tiket aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Israel kepada Palestin.
Portal TRT World melaporkan inisiatif tersebut bagi membantu usaha kemanusiaan di bumi Palestin terutama di Semenanjung Gaza.
Presiden NFF, Lisa Klaveness melihat inisiatif ini sebagai satu usaha meringankan penderitaan rakyat Palestin.
“Mana-mana organisasi termasuk kita tidak boleh memandang sepi penderitaan dan serangan tidak berperikemanusiaan yang berpanjangan dialami populasi orang awam di Gaza.
“Kita mahu mendermakan jualan tiket (aksi menentang Israel) kepada pertubuhan kemanusiaan yang menyelamatkan nyawa di Gaza setiap hari dan menyediakan bantuan kecemasan aktif di lapangan,” katanya.
Norway dijadual bertemu dengan Israel dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada 12 Oktober ini.
Sebelum ini, kelab Norway, Bodo/Glimt turut mengambil inisiatif sama untuk aksi Liga Europa UEFA (UEL) menentang Maccabi Tel Aviv pada Januari lalu.