Skuad Malaysia B-23 difahamkan bakal beraksi di Stadium Thammasat untuk pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Thailand.
Ini selepas kelab BG Pathum United memaklumkan stadium mereka, Stadium True BG bakal menjalani proses penambahbaikan buat kali kedua.
Ini kerana selepas menjadi tuan rumah kepada tiga perlawanan di stadium itu, hasil penambahbaikan yang dilaksanakan terutama keadaan padang berada pada tahap tidak memuaskan.
Lantas, BG Pathum dan Bangkok United bersetuju secara bersama untuk menjalankan proses penambahbaikan buat kali kedua bagi memastikan Stadium True BG berada pada tahap terbaik.
BG Pathum dan Bangkok United turut memohon maaf atas kesulitan disebabkan isu tersebut. Kerja penambahbaikan di Stadium True BG bakal dilakukan selepas aksi Thai League 1 yang berlangsung pada minggu ini.
Hal ini turut dinyatakan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam. Beliau memaklumkan pengumuman kelab itu menjejaskan persiapan logistik pasukan-pasukan yang menyertai kelayakan Piala Asia B-23 termasuk skuad negara.
“Stadium Pathum Thani tak bersedia, difahamkan aksi kumpulan F membabitkan skuad B-23 negara akan dipindah ke lokasi lain. Persiapan logistik pasukan kini terjejas,” katanya di X.
Thailand dilaporkan telah memilih Stadium Thammasat sebagai lokasi alternatif semua perlawanan kelayakan Piala Asia B-23 2026 di negara itu.
Walau bagaimanapun, stadium itu perlu melepasi semua proses pemeriksaan yang ditetapkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ia disahkan secara rasmi.