Skuad futsal Selangor FC mengekalkan rutin biasa mereka menjelang aksi final Malaysia Futsal Cup (MFC) 2025.
Perkara ini didedahkan kapten Selangor, Khairul Effendy Bahrin dalam sidang media pra-perlawanan final antara pasukan itu dan Pahang Rangers FC.
Khairul Effendy yang mesra disapa Ayon turut percaya sekiranya Selangor mengikut taktikal yang digariskan jurulatih, Edgar Baldasso, mereka berpeluang bergelar juara MFC.
“Buat kali ketiga kita masuk final Malaysia (Futsal) Cup. Tiada banyak perubahan, kita akan lakukan apa yang biasa kita lakukan (di mana) dalam latihan kita buat rutin yang sama.
“Final kita jumpa Pahang (Rangers), sudah tentu Pahang (Rangers) satu pasukan yang kuat. Jadi, kalau kita bermain ikut taktikal kita, Insya Allah Selangor akan bergelar juara esok,” katanya.
Keyakinan sama turut dinyatakan Baldasso. Beliau sedar cabaran yang bakal dihadirkan Pahang Rangers selaku juara MFC edisi 2023.
Pada masa sama, Baldasso percaya sekiranya pemain melaksanakan perancangan taktikal di atas gelanggang, ia akan menghasilkan satu perlawanan yang menarik.
“Kita ikut perancangan kita, kita tahu betapa kuatnya Pahang (Rangers). Tapi kita yakin dengan kerja kita, tugas kita dan para pemain. Jadi, kita harap kita akan ada satu perlawanan yang baik esok,” katanya.
Merah Kuning akan berentap dengan Pahang Rangers di pentas final di N9 Arena pada 23 Ogos. Ini kali kedua kedua-dua pasukan berentap di final MFC sejak edisi 2022.