Liga Super: Terengganu Garang Tumbangkan Brunei DPMM
MakanBola
TERENGGANU FC

Terengganu berjaya menumbangkan skuad DPMM dengan keputusan 0-5 di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah pada Jumaat di hadapan 5400 penonton.

Skuad tuan rumah, DPMM menurunkan Syafiq Ahmad dan Ramadhan Sananta untuk mengemudi di jentera serangan manakala Kristijan Naumovski sebagai penjaga gol.

Selain itu, pasukan Terengganu membariskan ayam tambatan dari Brazil, Careca di bahagian depan dan Shahrul Nizam mengetuai skuad tersebut pada aksi malam ini.

Ayam tambatan Terengganu, Careca tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan perlawanan seawal 11 saat bagi memastikan skuad Peteh berada di hadapan hasil kesilapan benteng pertahanan DPMM.

Selepas itu, Terengganu terus mengasak dan melakukan beberapa percubaan ke kubu skuad DPMM bagi menambah jaringan di awal babak permainan.

Skuad Peteh terus menambah jaringan pada minit ke 16′ menerusi rembatan kencang dari Nurillo Tukhtasinov untuk memastikan Terengganu berada di hadapan dengan 2 gol.

Tersentak dengan 2 jaringan tersebut pasukan DPMM terus melancarkan beberapa percubaan ke gawang Terengganu namun ketangkasan penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin harus diberi pujian.

Memasuki minit ke 35′ kedudukan masih didahului oleh pasukan pelawat, Terengganu walaupun skuad DPMM terus mengasak kubu pasukan Peteh dalam beberapa kali.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-2 memihak kepada pasukan pelawat, Terengganu.

Keluar dari bilik persalinan, kedua-dua pasukan masih bernafsu untuk mencari jaringan terutamanya buat skuad DPMM yang ketinggalan dua gol.

Memasuki minit ke 67′ pemain skuad DPMM, Syafiq Ahmad dilayangkan kad kuning apabila mengasari pemain Terengganu di kawasan sendiri.

Careca sekali menjaringkan gol pada minit ke 74′ menerusi sepakan penalti hasil kesilapan pemain DPMM di kawasan kotak penalti yang mengakibatkan skuad Peteh dihadiahkan sepakan tersebut.

Yann Mabella melengkapkan malam gemilang buat skuad Terengganu dengan menjaringkan gol ke 4 pada minit ke 84′ bagi menutup peluang DPMM memenangi aksi ini di hadapan penyokong sendiri.

Syahmi Zamri berjaya menjaringkan gol ke 5 pada masa kecederaan separuh masa kedua bagi mengukuhkan lagi keputusan skuad Terengganu.

Perlawanan tamat dengan keputusan 0-5 memihak kepada pasukan pelawat, Terengganu walaupun beraksi di halaman lawan.

Skuad Terengganu bakal meneruskan aksi dengan menentang Selangor pada 27 Ogos bagi saingan Liga Super manakala DPMM dijadualkan bertemu Kuching City pada 14 September bagi aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA 25-26.