Kapten Terengganu FC, Careca memahat nama dalam buku rekod Liga Malaysia (Liga M).
Ini kerana bekas pemain tengah Perak FC itu meledakkan gol kedua terpantas Liga M dalam aksi Liga Super menentang Brunei DPMM FC.
Sebaik sepak mula, kesilapan mudah pemain DPMM pantas dihukum Careca. Selepas berjaya merampas bola, beliau melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol, Kristijan Naumovski.
Gol dalam tempoh 11 saat itu bukan saja gol terpantas Liga M untuk musim 2025/26 setakat ini. Malah, ia juga merupakan gol kedua terpantas dalam sejarah liga negara ini.
Ini ditambah dengan catatan gol terpantas yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Rekod gol terpantas dalam sejarah Liga M dipegang bekas kapten Penang FC, Rafael Vitor dengan sembilan saat pada musim 2021. Ini disusuli gol Careca dengan rekod 11 saat.
Bekas penyerang kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani mencipta gol ketiga terpantas Liga M bersama Kelantan pada 2015 dengan 12 saat.
Tchetche Kipre, Andik Vermansyah dan Syafiq Ahmad melengkapkan kelompok enam gol terpantas dengan masing-masing merekodkan 31 dan 33 saat.
Terengganu ketika ini mendahului 2-0 di Stadium Hassanal Bolkiah. Selain Careca, Nurillo Tukhtasinov turut mencipta nama sebagai penjaring.