Chelsea mencatatkan kemenangan pertama dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas mudah mengatasi West Ham United pada awal pagi Sabtu.
Kemenangan 5-1 ke atas West Ham ini memberikan suntikan moral buat Chelsea setelah anak-anak didik Enzo Maresca ini hanya meraih satu mata dalam aksi pertama EPL minggu lalu akibat diikat Crystal Palace.
Gandingan Joao Pedro dan Liam Delap jadi taruhan Chelsea untuk mengasak kubu pasukan tuan rumah sementara West Ham yang tumpas kepada Sunderland memilih Jarred Bowen selaku ketua pasukan.
Turun berjersi serba hitam, Chelsea bagaimanapun tertinggal seawal minit ke-5 menerusi percubaan dari luar kotak penalti oleh pemain West Ham, Lucas Paqueta yang terus menerjah gawang.
Kelebihan tersebut tak bertahan lama apabila penyerang The Blues, Joao Pedro berjaya menanduk gol penyamaan di minit ke-15 berpunca dari tandukan jarak dekat oleh bek kiri, Marc Cucurella
West Ham kembali menghukum pertahanan Chelsea dengan jaringan kedua selang seminit kemudian menerusi voli Niclas Fullkrug namun gol tersebut dibatalkan gara-gara kedudukan ofsaid.
Situasi itu membuatkan pelawat lebih semangat bagi mencari jaringan dan hasilnya Pedro Neto berlari kencang menyambar hantaran lintang Joao Pedro untuk menewaskan penjaga gol, Mads Hermansen.
Kapten Chelsea, Enzo Fernandez menambah kelebihan buat Chelsea dengan jaringan ke-3 pada minit ke-34 selepas tak berdepan masalah menampan lorongan pemain sayap lincah Brazil, Estevao.
Separuh masa pertama tamat, West Ham United 1-3 Chelsea.
Kembali dari rehat, giliran Moises Caicedo pula melakar nama selaku penjaring dengan gol ke-4 Chelsea disumbat tonggak tengah kelahiran Ecuador ini di minit ke-54 permainan untuk beri kelebihan pelawat.
4 minit berselang, gawang West Ham sekali lagi dibolosi oleh Chelsea dengan kali ini pertahanan tengah, Trevoh Chalobah menjaringkan gol ke-5 buat The Blues dan memberi tekanan kepada The Hammers.
Aksi di laman West Ham ini berakhir dengan kemenangan 5-1 memihak Chelsea.