Alif Zakaria Buat Kemunculan Semula Bersama Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Selepas berehat panjang akibat kecederaan serius, kemunculan semula Alif Zakaria menceriakan penyokong Terengganu FC.

Sebelum ini, bek kiri berusia 27 tahun itu terpaksa berehat panjang akibat kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL).

Kecederaan itu dialami Alif dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Februari lalu.

Situasi itu menyebabkan jurulatih Peteh, Badrul Afzan Razali mengeluarkan beliau pada separuh masa pertama. Hairiey Hakim masuk sebagai penggantinya.

Kini, Alif sudah kembali cergas sepenuhnya. Ini selepas beliau menjadi pemain gantian dalam aksi Liga Super antara Terengganu dan Brunei DPMM FC pada 22 Ogos lalu.

Alif masuk pada minit ke-83 menggantikan penjaring gol kedua terpantas dalam sejarah Liga Malaysia (Liga M), Careca. Hal ini turut dinyatakan pengurusan Terengganu dalam satu hantaran di platform rasmi mereka.

“Alif Zakaria akhirnya kembali beraksi sebentar tadi selepas berehat panjang akibat kecederaan.

“Malam ini lebih manis apabila beliau turut mencipta satu bantuan jaringan dalam kemenangan besar Terengganu FC ke atas DPMM FC,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Terengganu terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Super apabila membelasah DPMM 5-0.

Selain Careca, Nurillo Tukhtasinov, Yann Mabella dan Syahmi Zamri turut mencetak nama sebagai penjaring.