Viktor Axelsen Label Lee Zii Jia Lawan Sukar Di Paris
UltraSukan
Astro Arena

Bekas pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen percaya Lee Zii Jia bakal menjadi lawan sukar kepada mana-mana pemain di pentas BWF World Championships.

Pandangan itu dibuat beliau semasa menjadi pengacara program audio siar The Average Not Average baru-baru ini.

Axelsen merasakan kejohanan tersebut dilihat kejohanan sukar buat Zii Jia. Ini kerana ini kejohanan pertama beliau selepas pulih daripada kecederaan yang dialami sejak Mac lalu.

Pada masa sama, jaguh Denmark itu percaya jika Zii Jia menemui prestasi terbaiknya, beliau akan memberi cabaran hebat kepada lawannya itu.

“Saya akan kata ini satu kejohanan yang sukar untuk beliau kembali dan menunjukkan prestasi terbaik. Saya tak tahu tahap prestasinya ketika ini, jadi sukar untuk saya meneka.

“Tapi beliau bukan lawan menyeronokkan jika beliau beraksi dengan baik terutama bila menyerang.

“Anda tak mahu bertemu beliau di pusingan awal kerana jika pukulan smesynya tepat dan pada masa yang tepat, itu tidak akan menjadi satu aksi menyeronokkan dan anda akan berdepan tekanan,” katanya.

Axelsen turut menyatakan bahawa Zii Jia bukan pemain pilihan beliau untuk meraih gelaran juara BWF World Championships.

Antara nama yang dicanang beliau sebagai pemain pilihan ialah Shi Yuqi, Kunlavut Vitidsarn dan rakan senegara, Anders Antonsen.

Zii Jia dijadual bertemu wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin di pusingan pertama kejohanan berprestij itu.