Malaysia Futsal Cup: JDT Rangkul Tempat Ke-3, Sabah Pulang Hampa
UltraSukan
JDT Futsal

Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih tempat ke-3 Malaysia Futsal Cup (MFC) setelah menewaskan Sabah pada Sabtu.

Perlawanan penentuan tempat ke-3 dan ke-4 MFC musim ini menemukan JDT yang tewas kepada Pahang Rangers tatkala Sabah pula tersungkur di tangan Selangor di separuh akhir.

Bruno Taffy menjadi satu-satunya tonggak import diturunkan JDT pada perlawanan kali ini sementara Sabah membariskan pemain-pemain utama di dalam pasukan diketuai oleh Syarul Nizam.

Nattan Soares menjadi wira Sabah di babak pertama dengan dua gol pada minit ke-12 dan 17 bagi memastikan anak didik Felipe Augusto unggul mengatasi juara bertahan kejohanan MFC ini.

Sungguhpun begitu, Mahadhir Harahap sempat menyumbat gol penyamaan buat JDT di minit ke-16 setelah siri serangan bertali arus ke arah kubu Sabah yang dikawal rapi oleh Ahzar Aris.

Kembali dari rehat, Sabah berjaya menambah kelebihan hasil gol ke-3 oleh pemain berjersi nombor 10, Farith Ahmad pada minit ke-27 selepas mudah menampan hantaran lintang oleh Kairul Sukri.

Pemain kebangsaan, Syed Aizad kembali merapatkan jurang 2-3 dengan jaringan kedua kepada skuad Harimau Selatan ini pada minit ke-33 dan memberikan peluang untuk bangkit.

Dua jaringan lewat oleh Firdaus Ambiah dan Ridzwan Bakri mematahkan harapan Sabah bagi meraih tempat ke-3 dan JDT muncul pemenang dalam aksi ini dengan keputusan 4-3.