Selangor menoktahkan kejuaraan Malaysia Futsal Cup 2025 apabila meraih kemenangan besar ke atas Pahang Rangers.
Aksi final ini menjadi tumpuan ramai dengan Pahang Rangers dan Selangor masing-masing memburu kejuaraan MFC buat kali kedua di Stadium Tertutup N9 Arena, Nilai pada Sabtu.
Kedua-dua pasukan menampilkan barisan terkuat dengan Felipe Souza dan Matheus Moura menjadi taruhan Pahang Rangers sementara Selangor pula diketuai oleh Khairul Effendy.
Bintang import Selangor, Vitor Fernandes mencuri tumpuan apabila meledak 5 jaringan di separuh masa pertama selain dua gol daripada pemain muda Malaysia iaitu Syahir Iqbal.
Dua lagi jaringan di babak pertama disumbangkan oleh Faris Johan dan seorang lagi pemain import, Evandro Borges bagi membolehkan Selangor mendahului 9-1 pada 20 minit awal.
Pasukan Pahang Rangers sempat mencetak satu gol di minit ke-6 permainan menerusi Razin Rahim namun layangan kad merah kepada salah seorang pemain merencatkan aksi juara edisi 2023 ini.
Di separuh masa yang kedua, Vitor Fernandes menambah 3 lagi gol peribadi untuk pasukan Selangor bagi membolehkan Gergasi Merah terus memberi tekanan hebat kepada Pahang Rangers.
Kapten Selangor, Khairul Effendy turut berjaya melakar nama selaku penjaring sebelum Iqhmal Najmie dan Matheus Moura memberikan dua lagi gol saguhati kepada Pahang Rangers di hujung aksi.
Keputusan akhir menyaksikan Selangor meraih kemenangan 13-3 menewaskan Pahang Rangers sekaligus menoktahkan kejuaraan Malaysia Futsal Cup kedua dalam sejarah Merah Kuning.